Tuesday, June 26, 2012


Mini John Cooper Works GP (JCW GP) merupakan model Mini paling laju pernah dibina oleh pengeluarnya. Model itu akan dibina dengan prestasi tinggi untuk kegunaan litar lumba. Menariknya model itu halal didaftarkan untuk kegunaan jalan awam dan lebih istimewa hanya dua ribu unit sahaja ditawarkan kepada pasaran.
Walau bagaimanapun, pembeli yang berminat masih belum boleh memilikinya memandangkan model itu masih lagi dalam proses pembangunan. Suatu yang mengujakan semasa sesi ujian di litar Nurburgring, model itu telah mencatat rekod kelajuan masa 8 minit 23 saat. Catatan masa itu merupakan rekod baharu iaitu 19 saat lebih pantas berbanding model sebelumnya iaitu Mini Cooper S dengan kit John Cooper Works GP.
Apa yang membuatkan Mini JCW GP ini luar biasa berbanding Mini Cooper kebanyakan? Jawapannya ialah pada pakej enjin, casis serta kit aerodinamik yang mana kesemuanya diinspirasikan daripada sukan permotoran. Enjinnya menggunakan turbo twin-scroll yang menjanakan tork yang kuat dan bergerak seperti enjin yang dahagakan arahan kuasa daripada pemandu. Suspensi yang digunakan pula adalah jenis perlumbaan boleh laras yang dibangunkan khas bagi menterjemahkan kuasa output enjin kepada litar dengan pengendalian yang  lebih meyakinkan.
Bukan sahaja enjin dan suspensi malah luarannya juga perlu gempak seiring kuasanya. Kit badan yang digunakan bukan sahaja untuk astetik malah berfungsi di dalam keadaan pemanduan yang ekstrem. Komponen itu terdiri daripada apron depan dan belakang yang besar, kit sisi dan spoiler bumbung yang menyerlah. Peresap belakang pula mengoptimumkan laluan angin di bawah kereta. Interior kereta pula pasti membuatkan penumpang berasa sedih memandangkan kerusi belakangnya telah dibuang terus bagi menjustifikasikan lagi imej perlumbaan. Justifikasinya ialah di dalam perlumbaan yang penting hanyalah pemandu dan juru pandu arah.
Tag GP yang digunakan pada model itu pula lambang model edisi sport sebagai tanda bahawa model itu berprestasi tinggi. Konfigurasi casis, sistem brek, grip pada tayar perlumbaan ‘diasuh’ di litar perlumbaan Nurburgring yang merupakan litar yang paling mencabar di dunia. Jadi tidak hairanlah Mini JCW GP mencatatkan masa yang cemerlang di litar itu. Suka untuk saya kongsi model Mini Cooper S dengan kit JCW GP sebelum ini telah menjadi collector’s item di UK. Model penggantinya pula menjejak langkah model terdahulu dan hadir dengan pakej yang lebih ekstrem.
Sebagai strategi perniagaan jangka masa panjang, barang yang dijangkakan popular perlu dihadkan supaya sentiasa dicari. Biasalah, benda-benda yang rare itulah diburu orang. Kesannya ialah sesebuah jenama atau produk itu dikehendaki selari dengan prinsip kepenggunaan iaitu keperluan atau kehendak. The brand that people desire. 


No comments:

Post a Comment